Ulasan Filem: Misteri Dilaila (2019)

Syafiq Yusof sentiasa tampil dengan idea yang segar dan memang luar dari kotak. Tak kisahlah sama ada ideanya dicedok daripada mana-mana filem luar, apa yang cuba untuk ditonjolkan oleh Syafiq sememangnya sesuatu yang amat berani dan penuh visi. Terbaru, pengarah muda ini tampil dengan Misteri Dilaila. Filem ini tanpa dijangka membuat kejutan tersendiri apabila mempunyai dua ending berbeza.

Filem yang menggandingkan Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri dan juga Zul Ariffin ini berentak psiko thriller. Malah, ianya juga mempunyai bumbu seram yang cukup. Tetapi, setiap versi, sama ada versi 1 dan versi 2 akan mempunyai pemberatan berbeza. Jika korang menonton versi 1, korang mungkin akan berhadapan dengan lebih elemen psiko thriller, manakala di versi 2, elemen horror lebih banyak suntikan.

Aku berkesempatan menonton filem Misteri Dilaila versi 2. Dan dengan pengalaman ini, aku dapat huraikan bahawa versi 2 adalah versi yang lebih berat, mempunyai ending yang open ending untuk diskusi kedai kopi, dan mungkin tidak digemari penggemar filem yang mahu hiburan ringan. Take note yang setakat aku menulis ini, aku masih belum menonton versi 1.

Di dalam Misteri Dilaila versi 2, kita lebih digalakkan untuk percaya bahawa hantu yang menjadi klu kepada kehilangan Dilaila, yang dikatakan mempunyai raut wajah Dilaila itu wujud dan ada kepentingannya yang tersendiri. Di akhir 20 minit filem ini juga, kita dipaparkan dengan elemen home invasion yang jarang kita tonton.

Apapun kehebatan ending filem ini, Misteri Dilaila bukanlah sebuah filem yang perfect. Plotnya bukanlah sesuatu yang segar jika korang pernah menonton filem luar negara. Genre sebegini yang mirip garapan Hitchcock sudah dibikin banyak kali di Hollywood. Terbaru, Forgotten, filem Korea terbitan 2017 adalah filem berkonsep sama yang mungkin dipinjam Syafiq untuk membikin Misteri Dilaila.

Aku rasakan bahawa permulaan filem ini agak cantik. Ianya mengikut tipikal konsep filem antarabangsa yang memang penuh dengan klu. Malah, kita tidak menunggu lama untuk filem ini memulakan teka tekinya. Itu sangat baik. Malangnya, semakin kita menghampiri pertengahan filem, Syafiq kelihatan kekal dengan persoalan yang sama sehinggakan separuh masa pertama filem sedikit meleret.

Ya, pada mulanya, aku memang rasa seronok dengan elemen tegang dimana Jefry cuba untuk mencari bukti tentang kehilangan Dilaila dan membuktikannya kepada Inspektor Azman. Namun, babak yang berulang-ulang, seperti sikit-sikit panggil Inspektor Azman, sikit-sikit Imam datang sehinggalah berkali-kali kelihatan membosankan. Nasib baik, separuh masa kedua, filem ni menegang degan cantik.

Tidak dinafikan Zul Ariffin masih kekal dengan lakonan yang menjadi dirinya sendiri. Elizabeth Tan mencuri perhatian walaupun babaknya sedikit sahaja. Sasqia Dahuri memang menampilkan lakonan yang menjadi walaupun agak janggal. Siapa sangka, Sasqia dan Elizabeth kelihatan benar-benar iras wajahnya. Namron, Rosyam Nor, memang sentiasa terbaik.

Tahniah juga aku ucapkan kepada Misteri Dilaila kerana menampilkan visual yang agak luar biasa. Elemen interior rumah memang terbaik. Rekaan interiornya memang tak disangka-sangka. Malah, kerja kamera juga boleh dipuji kerana berjaya memberi jiwa untuk setiap babak di dalam filem. Cuma, aku kurang gemar dengan transition yang kadangkala too ambitious dan mengganggu. Kurangkan sikit oklah kot.

Overall, memilih untuk release dua versi ending di pawagam pada tayangan serentak mungkin satu percaturan. Ianya perkara baru dalam industry dan para penonton seharusnya bangga dengan marketing campaign yang begitu luar biasa. Pada aku, Syafiq Yusof sudah membuktikan bahawa filem Malaysia boleh mencuba jika ada dana.

Misteri Dilaila bukan filem sempurna. Namun, jiwa untuk membina perubahan dalam dunia filem Malaysia menjadikan filem ini layak dipuji. Syafiq Yusof membawa jiwa mudanya dan menginspirasikan idea luar dan membuktikan bahawa konsep filem dari luar negara mampu diadaptasi ke dalam dunia filem Malaysia jika kena gayanya.



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan