Ulasan Filem: Revenger (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Lee Seung-won
Pelakon | Bruce Khan, Yoon Jin-seo, Park Hee-soon

Revenger nampaknya nak jadi filem Korea pertama yang mempunyai aksi seakan-akan filem The Raid. Memang tidak dapat dinafikan, Revenger sebenarnya terhasil daripada team filem The Raid sendiri. Sebab itulah filem ini menampilkan beberapa watak yang bertutur dalam Bahasa Indonesia. Nah, apa lagi, pancingnya dah ada.

Malangnya, pancing Revenger seakan akan tumpul. Gagal untuk mengait mata peminat filem aksi beladiri yang mahukan kepuasan berganda. Tidak dinafikan, Revenger ada kekuatan di sana sini, namun, kelemahannya lebih ketara daripada kekuatan. Dan itu sungguh mengecewakan.

Menampilkan Bruce Khan, bintang aksi dari Hollywood yang sebelum ini berlakon sebagai watak ekstra untuk beberapa filem termasuklah filem Jackie Chan, The Medallion, Revenger percubaan pertama Bruce Khan untuk jadi pelakon utama. Revenger menjadikan watak Bruce Khan sebagai tumpuan, namun bintang ini masih tenggelam.

Revenger lemas kali pertama selepas plotnya kelihatan agak kurang masak. Seakan-akan sebuah filem yang santai tetapi logikanya tidak diadun dengan baik dan jelas. Hal ini sekaligus menjadikan Revenger mempunyai plot hole yang ketara sekaligus menjadikan pelbagai babak dipenuhi persoalan yang sepatutnya tidak ada.

Berlatarkan sebuah pulau terpencil yang dikongsi 12 negara untuk menempatkan banduan yang dibuang daerah, Revenger mengisahkan anggota polis yang dihantar ke pulau itu untuk membalas dendam. Misinya mudah, namun ianya menjadi sukar apabila banduan di pulau itu terbahagi kepada dua puak. Plot Revenger sememangnya predictable. 

Watak Bruce Khan tidak berkembang dengan baik dan wataknya tidak menjadi langsung. Tenggelam dan tidak layak untuk dipuji. Ternyata, Bruce Khan bukan pakar dalam mencipta plot untuk filem aksi lakonannya sendiri. 

Lakonan dalam Revenger amat teruk. Skripnya seakan-akan lakonan santai yang tidak menjadi. Tidak ada dialog yang begitu baik untuk diingati. Malah, watak Bruce Khan juga kelihatan agak canggung apabila terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Campur aduk bahasa Indonesia, Korea, Thailand dan Inggeris memang majmuk. Namun, ianya seakan ada yang tak kena.

Aksi filem ni tak banyak mana. Tetapi, boleh dikatakan aksinya agak panjanglah apabila Bruce Khan buka langkah. Nak dibandingkan dengan filem aksi bela diri lain, Revenger masih lagi budak baru belajar. Aksi filem ni tidak segar, tiada adegan yang begitu umph dan juga seperti sebuah koreografi yang tidak cukup hebat!

Namun begitu, aku sedikit bangga apabila Korea menerbitkan filem sebegini. Mungkin di masa hadapan, diorang perlu lebih teliti untuk mencipta plot yang padan dengan genre aksi bela diri sebegini. Revenger seakan menarik idea Battle Royale, berkisar tentang pulau juga, dan akhirnya membuang ngeri pertempuran dan menggantikannya dengan aksi bela diri.

Jangan letak harapan tinggi untuk filem ini. Namun, filem ni boleh dikatakan sebagai hiburan santai untuk peminat filem aksi. Abaikan plotnya yang entah apa apa. Layan aksinya yang sederhana itu sebagai penantian untuk filem-filem aksi bela diri yang lebih hebat di masa hadapan. Pesan aku, Bruce Khan perlu lebih banyak belajar lakonan. Bukan hanya kaki dan tangan sahaja perlu tangkas, wajah juga perlu bervariasi! Itu jelah.



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan