Ulasan Filem: Master Z Ip Man Legacy (2018)

Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Yuen Woo-ping
Pelakon | Max Zhang, Dave Bautista, Michelle Yeoh

Master Z: The Ip Man Legacy ialah sebuah filem spin-off yang berkesinambungan terus dengan filem Ip Man 3. Kali ini, file mini mengisahkan perjalanan Cheung Tin Chi selepas kalah dengan Ip Man di dalam filem Ip Man 3. Dan kali ini, dunia kisah wing chun dibesarkan dengan percubaan untuk meneruskan legasi aksi hebat seperti filem Ip Man terdahulu.

Filem yang dilakonkan oleh Max Zhang sebagai teraju utama ini memang cuba menarik penonton dengan promosi aksi rancak pertarungan. Malah, nama nama pelakon hebat dari seantero dunia seperti Tony Jaa, Dave Bautista dan juga Michelle Yeoh menjadi bahan promosi untuk menarik penonton untuk menonton filem ini.

Namun, adakah Master Z berjaya menjadi legasi filem wing chun yang menyambung legasi kehebatan filem Ip Man? Jujurnya, filem kali ini sedikit lain dan kurang hebat berbanding filem filem Ip Man terdahulu. Namun, ianya masih boleh dinikmati kerana aksi pertarungannya yang tidak mengecewakan walaupun agak singkat.

Ya, pertarungan dalam filem ni terlalu pendek dan tak puas. Di awal filem, kita sudah ada paparan pertarungan Tony Jaa melawan Cheung Tin Chi. Namun, aksinya terlalu pendek dan tidak ada naratif yang jelas dan konkrit untuk pertarungan itu berlaku. Pertarungan antara Cheung Tin Chi dan Michelle Yeoh boleh dikatakan boleh tahan. Tapi, paling best, semestinya pertarungan antara Dave Bautista dan watak utama.

Walaupun filem ini seperti filem Ip Man yang memfokuskan aksi, filem kali ini lebih menekankan aspek naratif. Kelihatan bahawa filem ni seperti sebuah percubaan untuk membawa dunia filem wing chun ke hadapan dan seterusnya menyebabkan lebih banyak sekuel dan spin off dihasilkan walaupun Master Z dan Ip Man tiada lagi dalam filem itu.

Dari segi plot, filem ni bercakap tentang bahaya dadah dan juga gangster. Tema yang ringkas dan boleh dikatakan masuk dengan masyarakat di serata dunia. Dan disebabkan filem Master Z tidak menggunakan naratif sejarah, filem ni dipenuhi dengan watak watak yang menceriakan dan juga menjadikan filem ni nampak segar dari filem Ip Man yang nampak lebih serius.

Aku boleh katakan yang kerja kamera dan juga koreografi pertarungan memang cukup hebat. Memang team filem Master Z terbaiklah. Puas hati dengan segala aksi bela diri yang dipaparkan. Tapi, tu lah, macam aku katakan, pertarungannya ringkas sangat.

Lakonan Dave Bautista pada aku kelihatan canggung di awal filem. Namun, apabila plot twist didedahkan, aku rasakan bahawa watak Dave Bautista juga menjadi antara watak yang hebat dan juga buat orang geram. Tidak dinafikan juga bahawa kehebatan Max Zhang yang diserlahkan dalam Ip Man 3 menjadi penarik dan berjaya menolak watak ini ke hadapan dan dilihat ramai.

Secara jujurnya, aku masih kurang puas dengan Master Z: The Ip Man Legacy. Mungkin kerana filem ini menumpukan kepada naratif dan perkembangan plot, ianya gagal menyadurkan aksi mantap sebanyak mungkin seperti dalam filem Ip Man 3. Namun, aku boleh katakan filem ni boleh layan.

Harapnya, jika Master Z: The Ip Man Legacy punya sekuel, naratifnya mungkin akan lebih menarik dan aksi pertarungannya lebih padu dan panjang.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan