Ulasan Filem: Buybust (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Eric Matti
Pelakon | Anne Curtis, Brandon Vera

Jika Indonesia ada The Raid, Malaysia punya Polis Evo, maka Filipina ada Buy Bust. Ianya adalah satu perkara positif melihat perkembangan industri filem aksi Asia Tenggara kini banyak percubaan untuk keluar dari kepompong lama.

Buy Bust ialah percubaan itu. Percubaan untuk menyerlahkan sinema Filipina kepada dunia dan membuktikan bahawa mereka bukanlah terkebelakang dalam membikin filem aksi. Ianya satu kebanggaan buat mereka.

Filem ini mengambil latar masa satu hari sahaja. Pendek kata, apa yang berlaku dalam filem ini hanyalah berlaku dalam satu malam. Dan jika kau tonton, ianya mengingatkan aku kepada filem The Raid mahupun Judge Dredd yang mempunyai konsep yang sama.

Berlatar belakangkan setinggan di pinggir kota, Buy Bust mengisahkan bagaimana pasukan khas cuba menumpaskan satu sindiket dadah. Setelah satu misi gagal sebelum ini, Nina mahu turut serta dalam misi terbaru yang bakal menamatkan perang dadah di Filipina.

Namun, malam penangkapan ketua kartel dadah berakhir dengan malapetaka apabila mereka terperangkap di dalam setinggan yang berselirat dan juga penduduk setinggan yang sudah muak dengan sikap polis yang asyik mahu menangkap penjual dadah sehingga menyusahkan mereka.

Dan semuanya berkisar tentang bagaimana pasukan ini mahu keluar dari setinggan itu apabila penjual dadah menjadikan orang yang tinggal di kawasan itu sebagai benteng untuk mengelakkan mereka keluar dari situ hidup hidup.

Pada aku, filem ni memang lain daripada yang lain. Untuk berada setaraf dengan The Raid, mahupun Polis Evo, filem ni jauh meninggalkan filem filem ini di belakang. Namun, aku akui, untuk taraf filem Filipina, filem ni dah cukup baik untuk dipertontonkan dunia.

Jujurnya, filem ni mempunyai aksi yang berulang, tidak ada perkara yang luar biasa sangat kecuali elemen keganasan yang boleh dikatakan amat banyak. Babak tikam antara yang paling jelas dan banyak paparan. Tetapi tetap tidak memberikan kengerian yang besar.

Aksi dalam filem ni tidak mempunyai unsur seni bela diri. Jadi, nak expect koreografi setaraf filem aksi Indonesia, memang jauh panggang dari api. Itu yang sebenarnya buatkan aku sedikit kecewa apabila filem ni lebih kepada aksi tembak menembak yang berulang dan tiada perkara baru.

Namun, kerja kameranya boleh dipuji. Itu antara aspek yang menarik dan juga menjadikan Buy Bust mampu dijual ke mata dunia. Muzik dan suntingannya juga boleh dikatakan menutup banyak lompong aksi yang gagal diselamatkan dengan baik. Tema dan juga kerja teknikal yang baik menjadikan filem ni mempunyai tarafnya yang tersendiri.

Lakonan Anna Curtis menjadi tunjang utama kepada filem ini. Malah ianya juga menjadi penarik kepada penonton untuk menonton filem ni.

Apapun, Buy Bust seakan sedikit mengecewakan bagi pandangan aku secara peribadi. Mungkin aku terlalu letak harapan tinggi untuk filem ni. Memang jatuh tersungkur lah jawabnya. Tetapi, ianya amat wajar untuk ditonton sekali lalu untuk melihat perubahan sinema Filipina pada tahap tertinggi mereka setakat ini.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan