Ulasan Filem: Aquaman (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | James Wan
Pelakon | Jason Momoa, Amber Heard, Patrick Wilson

James Wan tidak pernah mengecewakan. Itu aku pasti. Dia nampaknya sudah membuktikan kebolehannya mengarah filem aksi dalam filem Fast and Furious 7, dan kini dia memberi peluang kepada dirinya untuk mengarahkan filem superhero. Ternyata, ianya sesuatu yang memberikan kita ruang untuk menyatakan masih ada peluang untuk filem superhero DC berkembang dengan baik.

Aquaman memang agak pelik di imaginasi. Kisah Atlantis dan juga manusia bercakap dalam air ialah sesuatu yang sukar dihadam fikiran. Namun, James Wan berjaya memberi logic dan membawa dunia Atlantis dengan cara yang boleh diterima.

Antara sebab Aquaman memang antara filem terbaik DCEU selepas Wonder Woman ialah kerana kisahnya yang menarik dan juga penceritaannya yang memukau. Di dalam Aquaman, kita mempunyai kisah teras yang simple sahaja, tentang adik beradik tiri, namun, kisah itu dibesarkan dengan cara yang menarik dan menghiburkan.

Komedi yang disuntik dalam filem ini secukup rasa. Tak ada scene lawak yang try hard dan memang semuanya menjadi. Boleh dikatakan drama dan juga komedi filem ini seimbang dan menjadikan Aquaman sebuah filem yang sedap dilayan. Senang cakap, semuanya cukup rasa.

Mungkin antara aspek yang paling aku suka sekali ialah aksi pertarungan filem ni yang boleh dikatakan agak unik. Aksi-aksi dalam filem ni kebanyakannya one to one fight yang mana dihiasi dengan kerja kamera yang agak menakjubkan. Kebanyakan babak aksi mempunyai long shot yang memukau, terutama sekali scene pertarungan pertama semasa pembukaan filem.

James Wan ternyata mempunyai visinya yang tersendiri untuk membungakan Aquaman. Filem ini dipenuhi dengan pelbagai kegilaan James Wan dalam menafsirkan bagaimana sebuah filem superhero harus dibikin. Dan akhirnya, Aquaman mempunyai keunikannya yang tersendiri dan menjadi sebuah filem yang dimahukan peminat filem superhero.

Lakonan Jason Momoa tidak dapat dinafikan menjadi antara penarik. Malah, lakonan Amber Heard antara yang menjadi dadah besar untuk menarik penonton untuk lebih mengamati filem ni. Oh, aku agak kurang selesa dengan Willem Dafoe dan juga Patrick Wilson. Entah kenapa aku tak tahu. Semacam tak kena.

Malah, kadangkala kesan khasnya juga mencacatkan filem ni di satu dua tempat. Aku tak tahulah sama ada James Wan sengaja mahukan kesan khas yang sebegitu rupa atau tidak, tetapi aku rasakan kesan khas dunia Atlantis kadangkala nampak seperti filem Justice League. Not bad, tetapi kadangkala ada visi yang sukar nak digambarkan dengan teknologi sedia ada, mungkin.

Bagi penggemar filem Marvel, aku boleh katakan yang Aquaman ni mirip Thor. Dunia Atlantis punya paparan memang fiksyen habis seakan dunia Asgard di bawah laut. Namun, aku harus akui bahawa dunia James Wan dalam membikin Aquaman rasanya lebih hebat daripada dunia Asgard bikinan Marvel. Tetapi, itu sekadar pendapat peribadi.

Pada aku, filem Aquaman ni memang puas hati. Aksi memang panjang dan puas hati. Watak yang ringan dan juga kisah yang mudah menjadikan Aquaman sebuah filem yang menghiburkan tetapi pada masa yang sama membawa logik kepada dunia Atlantis yang sukar untuk digambarkan dalam sebuah filem. Sebuah filem popcorn yang sedap dan enak untuk dilayan!



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan