Huraian Babak Kemuncak Filem 'Polis Evo 2' [SPOILER ALERT}


Polis Evo 2 mencatat kutipan yang agak memberansangkan daripada filem pertamanya yang terbit pada tahun 2015. Filem yang membariskan lebih banyak pelakon popular ini kini menjadi fenomena baru dan juga aras baru dalam genre filem aksi di Malaysia. Kami akan bincangkan dan memberi sedikit pandangan tentang pengakhiran filem ini.


Ambil maklum bahawa perenggan selepas ini mempunyai SPOILER MAJOR yang mana boleh mengganggu penontonan anda jika masih belum menonton. Jaga jaga, better jangan teruskan jika tidak kuat.

-

-

-

-

-

-

-

-

-


HURAIAN BABAK KEMUNCAK FILEM ‘POLIS EVO 2’

Dalam babak akhir filem Polis Evo 2, Inspektor Sani bertindak mengepung kesemua kuncu-kuncu Saif ke dalam sebuah dewan yang kelihatan terbengkalai sebelum meledakkan dewan itu dengan letupan. Saif berjaya dibunuh oleh Inspektor Khai selepas dia hampir menembak Inspektor Sani. Dan babak akhir itu ditamatkan dengan sebuah babak di tepi pantai, beberapa bulan selepas kejadian.

Di dalam babak pantai, Inspektor Sani dan juga Inspektor Khai berbual mengingati kes besar yang membawa kepada perubahan kepada persahabatan mereka berdua. Terdapat juga beberapa hint yang memberikan ruang kepada beberapa perbincangan untuk francais Polis Evo di masa akan datang.

SELAGI LAKU BOH!

Perkataan ini menjadi satu perkara yang memberi ruang untuk penonton menjangkakan adakah Polis Evo 3 akan menyusul dalam masa terdekat. Dengan dialog-dialog Inspektor Khai yang memberi hint yang samar-samar, ramai termasuklah admin sendiri percaya bahawa selagi Polis Evo laku dan masih ada penonton, Polis Evo 3 tak mustahil akan ada.

Polis Evo 2 dan juga filem pertama berjaya membina jambatan yang membezakan dua filem dalam francais ini. Kita dapat melihat bahawa Polis Evo 2 lebih membuka kepada keluasan universe francais filem tersebut dengan pengenalan ramai watak-watak baru. Dan semestinya, filem Polis Evo 3 nanti, jika ada akan menjadi filem yang lebih besar dan segar.

Filem kedua Polis Evo ini sudah memberi benchmark tertinggi dalam sejarah filem aksi Malaysia. Dan semestinya pihak penerbit harus mencari idea yang lebih segar daripada berbicara tentang dadah dan juga aksi lasak. Apapun, jika Polis Evo 3 akan ada, maka sudah pasti keterujaan menunggunya tidak akan pernah pudar.

PENGAKHIRAN YANG TERGANTUNG?

Ramai penonton menyatakan bahawa pengakhiran filem Polis Evo 2 kelihatan sedikit tergantung. Memang benar, Saif akhirnya menerima nasib yang setimpal. Namun, babak akhir Polis Evo 2 yang akhirnya menyimpulkan kisah persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani dengan melupakan beberapa perkara besar yang perlu ditamatkan dengan baik adalah sedikit mengecewakan.


Kita tahu, di dalam filem ini, Inspektor Khai dan Inspektor Sani bertahan sebelum pasukan bantuan tiba. Malangnya, persoalan besar, pasukan bantuan tidak tiba-tiba sehinggalah akhir filem. Adakah SAC Azizat memang benar-benar hantar pasukan bantuan? Atau ada perkara yang tidak diketahui? Apa yang terjadi di gudang yang diketuai oleh SAC Azizat?

Peleraian babak akhir dan penyudah kepada beberapa watak terutama watak ‘pasukan bantuan’ yang tidak ada sampai ke sudah, dan juga pasca kejadian tidak disimpulkan dengan baik. Pastinya akan ada pelbagai spekulasi tentang tindakan SAC Azizat dan juga pembelaan terhadap pasukan UKAP yang terbunuh.

KE DALAM JIWA INSPEKTOR SANI

Di satu lapis, kita melihat bahawa Polis Evo 2 ialah kisah tentang Saif yang cuba untuk tuntut pihak polis untuk kembalikan Imam Husyairi. Namun, jika kita gali lebih lagi, Polis Evo 2 ialah kisah bagaimana Inspektor Sani menjadi seorang polis yang benar-benar seorang polis. Sepanjang filem Polis Evo 2, kita melihat bahawa Inspektor Khai banyak menjalankan tugas menyelamat manakala Inspektor Sani pula dipadankan dengan Mat Dan.


Melihat Mat Dan mati di depan mata menjadikan jiwa Inspektor Sani dikorek jauh. Dia lalu mempersoalkan tentang dirinya sendiri sebagai seorang polis. Dia merenung jauh ke dalam jiwanya tentang layak atau tidak dia menjadi seorang polis. Hal ini menjadikan tema persahabatan Sani dan Khai dibawa ke level baru. Sani sedang jatuh, dan Khai pula ialah semangatnya.

Dan apabila digabung semuanya, kita melihat bahawa kejadian dalam filem ini sebagai ujian terberat Inspektor Sani sepanjang dia bertugas. Masih ingat tentang babak dia bercakap dengan gambar ayahnya yang ada dalam filem pertama dan kedua ini? Nah, akhirnya Inspektor Sani berjaya membuktikan dirinya seorang polis yang terbaik kerana berjaya menyelamatkan tebusan.

KESIMPULAN

Polis Evo 2 memang sebuah filem aksi yang padat. Namun, ada satu dua perkara di dalam filem ini kelihatan ditinggalkan gara-gara melebihkan beberapa perkara yang disangka penting. Pengakhiran Polis Evo 2 seharusnya lebih kemas. Namun, untuk apa yang ada, ianya mungkin sebuah cliff hanger yang mungkin boleh membuka ruang untuk sekuel ketiga. 



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan