Ulasan Filem: Paskal (2018)

Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Adrian Teh
Pelakon | Hairul Azreen, Jasmine Suraya, Ammar Alfian, Nam Ron

Paskal mungkin ialah sebuah filem yang lain daripada yang lain. Ianya pertama kali dalam sejarah, kita diperlihatkan dengan aset ketenteraan yang sebenar dalam sebuah filem yang padat dengan aksi. Memang aku boleh katakan, aset ketenteraan kita hebat. Tidak dinafikan.

Sebelum bercerita lanjut mengenai Paskal, aku nak beritahu bahawa plot penceritaan Paskal dibina dengan mencantumkan dia tragedi kisah benar. Dua kisah benar ini diselitkan dengan setting yang fiksyen dan kemudiannya diselitkan supaya fit dengan watak dan juga twist.

Menonton Paskal ibarat menonton tiga episod siri tv mega yang berbayar. Episod pertama, lanun Somalia, episod kedua, konflik Hairul Azreen, dan episod tiga lanun Filipina.

Pada aku, Paskal memang filem yang memuaskan. Namun, Paskal bukanlah sebuah filem yang cukup sempurna untuk menjadikan ianya sebuah filem aksi ketenteraan yang mengagumkan. Tapi, untuk taraf dan kualiti masa sekarang, Paskal boleh dikira gah.

Selesai menonton Paskal, aku lebih mudah menyimpulkan bahawa filem ini ialah pesta untuk menayangkan aset ketenteraan negara. Filem ini diberi peluang untuk menunjukkan bahawa Malaysia juga ada kekuatan dari aspek ketenteraan yang boleh diceritakan. Kita dipaparkan dengan visual aset ketenteraan yang tak pernah dipaparkan dalam filem Malaysia sebelum ni.

Selain pesta tayang aset ketenteraan, Paskal tak lebih tak kurang hanyalah sebuah kisah tentang kawan makan kawan, pilihan yang salah, salah tanggapan tentang Paskal, jiwa ibu yang sayangkan anaknya, dan juga isteri yang menyayangi suaminya. Dimudahkan cerita, Paskal masih ada elemen kasih sayang yang menjadi perencah penyedap untuk mengisi lompong plot yang panjang.

Elemen drama kekeluargaan ini memakan masa separuh daripada filem. Ianya, pada aku secara peribadi menjadi aspek terlemah filem ini. Elemen persahabatan, pengkhianatan dan kasih sayang digarap ringkas namun gagal untuk dimuatkan dalam sebuah filem bercorak aksi sebegini. Ianya seakan tidak fit dengan plot ketenteraan yang ada. Rasa macam weird je!

Malah, beberapa dialog yang kaku dan skema menjadi pembunuh kepada kualiti filem ini. Ianya sepatutnya diperkemaskan dengan baik dan tidak sepatutnya terjadi. Malangnya, filem ni dah dicacatkan!

Namun, aku tidak dinafikan, saat pasukan Paskal beraksi, di situ ialah antara kekuatan paling jitu filem ni. Bila lau dah nak rasa bosan dengan plot kasih sayang tu, filem ni masukkan misi Paskal yang membuatkan kita celik.

Baiklah, abaikan plot cinta dan kasih sayang ibu ayah tu. Fokus pada adaptasi misi sebenar kepada filem ini dahulu. Pada aku, adegan serangan dan aksi tempur Paskal dalam filem ni memang terbaik. Ianya lebih baik dari J Revolusi, tetapi membandingkannya tidak menjadikan filem Paskal lebih tinggi.

Kebijakan lakonlayar untuk membina situasi tegang boleh dipuji. Paskal berjaya mencipta situasi serangan pelantar minyak dengan baik. Malah watak Zariff/ Jeb menjadi watak yang menyerlah kerana background watak yang kukuh! Ianya seperti melihat watak jahat dalam filem Hollywood.

Hairul Azreen diberi ruang untuk menyerlah berbanding rakan rakannya yang lain. Namun, watak watak pasukan Paskal lain seperti Ustat antara yang berjaya diserlahkan walaupun hanya menyelit sekali sekala. Hafizul Kamal sebagai Yan juga antara yang menjadi lawaknya.

Agak mengecewakan sedikit apabila Amerul Affandi tidak diberi peluang untuk menjadi lebih menyerlah dari apa yang kita lihat. Wataknya ditampilkan agak besar, menjadi pembayang kepada apa yang bakal menimpa pasukan Paskal, namun malangnya mempunyai kesudahan yang mengecewakan.

Watak Amerul tenggelam dengan watak Jeb yang mana dibina dengan keseimbangan yang gagal. Hubungan Jeb dan lanun tidak digambarkan dengan jelas sekaligus menjadikan antagonis filem ni terlalu lemah. Kalau nak ikut, watak lanun Somalia di awal filem lebih baik daripada lanun finale filem ni.

Menonton Paskal memang buatkan kita meremang. Memang tak pernah ada lagi dalam sejarah filem kita visual rakaman terjunan Halo. Kalau terjunan Halo ni, mostly kita selalu layan dalam filem Mission Impossible je. So, Paskal berjaya buat adegan tu walaupun kerja kameranya tidak begitu kemas.

Aspek CGI filem ini memang sederhana. Beberapa scene darah yang menggunakan implementasi CGI agak obviously fake namun masih boleh diterima. Ada scene CGI yang terlalu teruk terutama sekali pada adegan akhir di tugu tu. But, ada yang menjadi seperti scene tembakan udara. Terbaik tu!

Skor muzik filem ni berjaya menjadi pembawa emosi yang baik kepada setiap adegan aksi filem ni. Setiap muzik latar berjaya memberikan adrenalinnya yang tersendiri sekaligus memberikan rasa seperti menonton filem military daripada luar negara.

Apa aku mampu katakan, Paskal dihasilkan dengan gaya yang sederhana. Tiada visual seakan filem Michael Bay, slow motion yang melampau, helikopter terbang menghadap matahari, bendera Malaysia yang merata rata. Semua tu tiada. Tapi, ianya ialah sebuah filem yang membuktikan bahawa kita mampu menghasilkan filem ketenteraan masa kini yang sangat realistik. Yelah, sebelum ni kita selalu disajikan dengan filem askar zaman sebelum mereka je. Ini baru gempak!

Aku simpulkan bahawa Paskal tidak sempurna. Ni jujur ni! Tapi, untuk sebuah genre ketenteraan masa kini dengan aset canggih dari negara Malaysia, filem ni berjaya mencapai objektifnya. Penonton berjaya dikagumkan dengan scene kapal selam, taktikal serangan dan juga terjunan Halo. But, pembinaan plot harus dikemaskan lagi dan tidak mengikut acuan filem Malaysia yang memerlukan aspek cinta sebagai perencah wajib.

So, mungkin aku lebih mengharapkan ada lagi filem seperti ini di masa hadapan untuk menyempurnakan apa yang Paskal gagal sempurnakan. Buat masa ini, Paskal ialah sebuah filem ketenteraan yang membuatkan kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan aset ketenteraan yang kita ada. Boleh layan!

Kita sentiasa terbaik!



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan