Ulasan Filem: One Two Jaga (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Nam Ron
Pelakon | Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Amerul Affendi

Bila aku tonton One Two Jaga, sebenarnya aku boleh katakan bahawa filem ini tidak digarap dengan nilai komersial. Maaf aku cakap, penonton yang tak tahu apa akan kata bahawa garapan filem ini hanya setaraf drama tv. Namun, ianya menjadi sebuah filem apabila cerita ini mengangkat elemen berani seperti kata-kata lucah, maki hamun dan perbuatan yang tidak sesuai dipaparkan.

Pedih tu pedih, tapi hakikatnya itu ialah persepsi orang terhadap filem ini. Bagi aku pula, One Two Jaga selayaknya ialah sebuah filem yang nampak artistik, tetapi cuba direndahkan levelnya untuk golongan yang kurang faham seni ni faham. Ianya ibarat sebuah lukisan abstrak yang hanya orang yang tertentu faham, lalu dibuang unsur tertentu di sana sini sehinggalah orang yang paham seni pun paham. Begitulah.

Akibatnya, filem ini terperangkap antara nilai seni dan kritikan sosial. Kita dibawa melihat pelbagai dialog yang penuh sindiran dan juga babak-babak yang memang tajam kritikannya, namun, ianya nampak seperti sesuatu nafas yang tersekat. Sukar untuk dihela, sehinggakan kadangkala ada rasa sesak di dalam dada.

Sebagai sebuah filem yang pernah ditayangkan di Asia Film Festival di New York, filem ni semestinya sebuah filem yang harus dibanggakan. Dengan idea seringkas yang dipaparkan, filem ni boleh diterima khalayak luar. Ianya sesuatu yang amat bagus. Nam Ron berjaya membuktikan yang filem yang senang diceritakan senang diterima orang luar. Sayangnya, filem sebegini, tidak diterima orang kita.

Nasihat dalam One Two Jaga memang bagus. Ianya satu keberanian Nam Ron untuk bersuara. Nam Ron tikam tepat ke jantung PDRM sendiri apabila mengakhiri filem ini dengan kejutan itu! Ya, ianya sesuatu yang besar maknanya apabila akar umbi kepercayaan masyarakat sebenarnya ialah punca barah rasuah di dalam negara.

Ringkasnya, filem One Two Jaga dibahagikan kepada tiga plot kecil. Pada awalnya, kita ada kisah bagaimana Hussein (Zahiril Adzim) yang mengenali Hassan (Rosdeen Suboh), selepas itu, kita juga ada kisah pekerja Indonesia yang nak bantu adiknya balik ke Indonesia. Dan ada juga kisah dunia gelap dua orang polis yang asyik paw orang!

Kesemua tiga kisah ini pada awalnya dipaparkan secara berasingan sebelum ianya bersambung di bahagian 30 minit terakhir filem. Sejam pertama filem ialah bahagian yang memerlukan kita mendengar. Nam Ron mahu kita hadam dialog-dialog yang ada kerana setiap babak ialah paparan realiti polis dan juga mentaliti masyarakat terhadap polis.

Walaupun aku rasakan filem ni terperangkap diantara nilai seninya, kejayaannya dan juga kritikan sosial yang disembunyikan dalam kanvas yang orang tidak pernah kisah, ianya ialah satu usaha yang baik untuk menyedarkan manusia tentang bahaya rasuah. Filem ini sendiri ibarat sebuah mesej tentang ‘Banteras Rasuah’ tetapi dalam durasi yang panjang.

Dari aspek lakonan, Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh dan juga Amirul Affendi antara yang mencuri perhatian. Lakonan Ario Bayu kurang aku gemari. Macam tak kena je dia jadi orang Indo. Namun, lakonan Ario Bayu dan Asmara Abigail sememangnya terbaik. Filem ni mencantumkan tiga negara kot. Ada pelakon Indonesia, Filipina dan juga Malaysia. Campuran sempurna!

Aku kurang gemar dengan adegan akhir filem ni yang too realistik. Filem ni tak ada ending yang besar. Penonton marhaen selalunya akan cakap, ‘eh, dah habis?’. Bagi aku pula, aku hanya mampu menerima hakikat bahawa inilah sebuah filem yang hanya sesetengah orang sahaja fahami penyampaiannya. Aku ok sahaja dengan endingnya, but ianya tak nampak macam ending. 

Sayangnya, filem ini bukanlah makanan ruji penonton Malaysia. Secara peribadi, aku suka mesej ini. Nam Ron sudah rendahkan penyampaian filem ini supaya orang yang tak faham seni nampak mesej yang ingin disampaikan. Tapi, bila direndahkan, nilai seni filem ni juga turut pudar. Namun, Nam Ron mungkin lupa sesuatu. Filem yang terlalu realistik sebenarnya gagal untuk menarik minat penonton. Apapun, One Two Jaga ialah sebuah kisah hakikat rasuah dan pelarian yang digaul sempurna.

Oh, filem ni ada babak budak hisap rokok yang dikaburkan, dan juga banyak ayat-ayat hinaan, cacian dan lucah yang disensor. 


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan