Membedah 5 Lagu Dari Filem 'Hantu Kak Limah' [SPOILER ALERT]



Hantu Kak Limah, naskah baru dalam dunia filem Kampung Pisang kini sudah hangat ditayangkan di pawagam. Dengan kutipan mencecah RM1.8 juta pada hari pertama tayangan, filem Hantu Kak Limah mencatat fenomenanya yang tersendiri selepas filem pertama berkisar Kak Limah diterbitkan pada tahun 2010.


Di setiap filem, pengarah filem Mamat Khalid sentiasa meletakkan lagu yang mengembalikan memori. Filem Hantu Kak Limah juga tidak lupa menyertakan pelbagai lagu menggamit kenangan yang membuka mata penonton masa kini untuk menghargai lagu-lagu lama.

Kami akan huraikan isi tersurat dan tersirat di sebalik setiap lagu yang mengisi filem Hantu Kak Limah. Ambil maklum bahawa MAJOR SPOILER akan didedahkan selepas perenggan ini. Jangan baca jika anda masih belum menonton filem Hantu Kak Limah.

-

-

-

-

-

-

-

-

-

1. Qurbani Qurbani - Anwar, Kishore Kumar, Aziz Nazan

Tersurat
Lagu ini disiulkan oleh Yeh dalam bilik air ketika dia ingin mandi selepas pulang dari melihat mayat Kak Limah. Lagu Qurbani Qurbani ini berasal dari filem Qurbani yang diterbitkan pada tahun 1980. Filem aksi thriller ini dilakonkan oleh Feroz Khan, Vinod Khanna, Zeenat Aman, Amjad Khan dan ramai lagi. Ianya diadaptasi dari filem The Master Touch.




Tersirat
Secara tersirat, lagu ini tidak memberi makna yang mendalam terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mamat Khalid. Mamat Khalid mungkin meletakkan lagu ini seperti mana dia meletakkan Soley Soley nyanyian Middle of the Road yang hanya bertindak sebagai tribute kepada lagu klasik kegemarannya itu.

2. Hatiku Luka Lagi - Black Dog Bone


Tersurat
Lagu ini ialah nyanyian asal oleh Black Dog Bone daripada album Si Gadis Ayu yang diterbitkan pada tahun 1978. Album yang mengandungi 12 lagu itu turut memuatkan lagu Si Gadis Ayu yang popular sehingga kini. Lagu ini mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang meluahkan kekecewaannya selepas terpaksa melepaskan kekasihnya yang telah mengkhianatinya. 


Tersirat
Lagu ini dapat dilihat mempunyai makna yang tersendiri dan mewakili kasihnya Noraini kepada Khuda yang dikecewakan setelah Khuda gagal untuk menjaga Noraini yang mana seorang bunian. Lirik ini dapat ditafsirkan sebagai monolog dalaman Noraini setelah ditinggalkan Khuda setelah diarahkan menjaga daun jagung yang ditanam. Berikut ialah monolog dari lagu Hatiku Luka Lagi yang mewakili jiwa Noraini:

Inilah hari yang paling sedih dalam hidupku
Demi pertemuan kita ini adalah yang terakhir 
Aku tak sanggup melihatkan kau pergi 
Meniggalkan aku menahan kepedihan 
Selama ini kita terlalu mesra 
Tapi kau telah meracun hati dan fikiranku 
Duniaku kini diseliputi mendung 
Maka tersiksalah aku didalam kegelapan 
Aku terpaksa melepaskan kau pergi 
Demi diriku tak berharga lagi untukmu 
Biarlah kuterima kenyataan ini…

Walaupun lagu ini dipaparkan secara santai semasa Yeh, Husin, Wani dan Khuda bertemu dengan Solihin, lirik ini seperti menggambarkan monolog Noraini yang sedang terbang ke rumah itu untuk mencari Khuda untuk membawanya pulang. Ambil tahu bahawa semasa lagu ini dinyanyikan, kita masih belum tahu bahawa Noraini ialah Hantu Kak Limah. So, memang kita takkan dapat tangkap the whole idea kenapa Mamat Khalid letakkan lagu ini di situ selagi filem belum berakhir.


3. Srikandi Cintaku - Bloodshed, M Nasir

Tersurat
Lagu Srikandi Cintaku ini dinyanyikan oleh Bloodshed dalam versi slow rock melalui album Samarkand yang diterbitkan pada tahun 1987. Lirik lagu ini ditulis oleh Nasir Jani manakala lagu ini ialah ciptaan M Nasir. Disebabkan itu, M Nasir menyanyikan lagu miliknya ini semula dalam versi keroncong dalam album Srikandi Cintaku yang diterbitkan pada tahun 1999. Album Srikandi Cintaku memuatkan 10 lagu ciptaan M Nasir untuk artis lain yang dinyanyikan semula oleh M Nasir sendiri.


Srikandi Cintaku mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang menyayangi kekasihnya. Lalu, ketika cinta mereka bersemi, kekasih hatinya meninggal dunia. Si lelaki lalu meluahkan rasa sayangnya takkan pernah pudar walaupun jasad sudah tiada.



Tersirat
Srikandi Cintaku dinyanyikan oleh Awie dan Mus May dalam versi keconcong ketika Eton membawa Husin ke alam bunian. Lagu ini lebih kepada gambaran cinta Husin dan Eton yang sebenarnya takkan sampai kepada kebahagiaan di dunia.

Dingin malam tirai kenanganku 
Menyerlahkan sekurun ingatan 
Terciptalah rimba kehidupan 
Percintaan dalam perjuangan 
Kesetiaan sebagai bekalan 
Bisikan penuh pengharapan 
Tiada garis dapat memisahkan 
Segalanya kudratMu Tuhan 
Alam bagai mengerti 
Segala yang terjadi 
Embun menitis panas simpati 
Pertemuan tiada awal akhir 

Mamat Khalid seolah memberi hint bahawa hubungan Eton dan Husin sebenarnya tidak akan berjaya melalu lagu ini. Sebab itulah, Mus May mengambil lirik ini untuk dinyanyikannya:

Perutusan berdarah ku terima 
Gugur kuntum di tengah halaman 
Medan ini kurasakan sepi 
Terpaku pilu

Mus May sudah memberitahu melalui liriknya, bukan dengan nada marahkan Husin tetapi tetap memahami Husin sebagai sebahagian daripada kaum manusia yang sentiasa berada di alam. Mus May memberitahu bahawa cinta Husin akan gugur dan gagal walaupun cinta Husin kepada Eton sebenarnya tinggi. Sama ada ayah Eton mengizinkan cintanya dengan Husin dizahirkan dalam lirik ini:

Debu malam meragut kenangan 
Menyedarkan dari lamunanku 
Percintaan dalam perjuangan 
Kau abadi Srikandi Cintaku

Tetapi, sebagai seorang ayah, watak Mus May seakan membenarkan cinta anaknya dengan Husin, tetapi apakan daya, cinta bunian dan manusia bukanlah sesuatu yang biasa.

4. I Am Me - Dato Seri Vida

Tersurat
Lagu I Am Me nyanyian Dato Seri Vida ini diterbitkan pada tahun 2017 dan menjadi tular selepas itu. Lagu ciptaan Edry KRU ini ialah satu-satunya lagu zaman moden yang dimuatkan dalam filem Hantu Kak Limah.


Tersirat
Tiada. Just for fun maybe!


5. Mohon Kasih - Ahmad Jais, Tan Sri S.M Salim

Tersurat
Lagu ini ialah nyanyian asal Ahmad Jais sebelum dinyanyikan semula oleh Tan Sri S.M Salim. Versi saduran nyanyian Siti Nurhaliza juga agak popular. Secara tersurat, lagu ini menceritakan bagaimana seorang laki yang mendambakan kasih seorang perempuan yang dicintainya.


Tersirat
Husin menyiulkan lagu ini pada babak akhir filem Hantu Kak Limah selepas kesemua kekacauan di Kampung Pisang tamat. Walaupun Husin hanya menyiulkan sedikit sahaja lirik lagu ini, kita tahu bahawa Husin sebenarnya sedang menyampaikan hasrat hatinya dan masih mengharap Eton menjadi isterinya dan bukan hanya sekadar kawan.

Melalui lirik penuh yang tidak dinyanyikan Husin, kita dapat gambaran penuh jiwa Husin:

Duhai puspa sari
Bunga kembang suci
Menimbulkan birahi
Hamba mohon kasih
Harapan nan bersih
Memuja engkau saja
Kasihanilah hamba 
Merindu balasan darimu 
Hatiku tertawan 
Tak dapat ku tahan 
Engkaulah idaman

Hantu Kak Limah kini di pawagam.




LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan