Huraian Babak Kemuncak Filem 'Skyscraper' [SPOILER ALERT]


Skyscraper ialah buah tangan terbaru lakonan Dwayne Johnson yang mana berkisar tentang usaha seorang ayah untuk menyelamatkan keluarganya apabila sebuah bangunan pencakar langit, The Pearl diserang pengganas. Kami akan huraikan apa yang terjadi dalam ending filem ini dengan lebih detail untuk pemahaman semua.


Ambil maklum bahawa perenggan selepas ini mempunyai SPOILER yang mana mungkin merosakkan penontonan korang semua. Korang diminta untuk stop setakat ni sahaja kalau belum tonton. Tapi, kalau nak teruskan juga, silakan.

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-


HURAIAN PENGAKHIRAN FILEM ‘SKYSCRAPER’


Di dalam babak akhir yang berlaku di bahagian bebola yang dikatakan sebagai ‘heaven’, Kores Botha menggunakan anak perempuannya sebagai pendinding daripada ditembak Will Sawyer. Hal ini mengingatkan kita tentang bagaimana tragedi yang meragut kaki Will Sawyer di awal filem. Namun, disebabkan kebijakannya, Will Sawyer berjaya menipu Kores Botha dan menyelamatkan anaknya daripada terbunuh.

SELESAIKAN MASALAH DENGAN ‘RESTART’

Filem ini bergerak seperti sebuah cermin. Apa yang berlaku di awal filem berulang semua di akhir filem. Secara tersiratnya, Skyscraper cuba untuk mengingatkan bahawa apa yang berlaku di masa dahulu perlu digunakan sebagai pengajaran supaya tidak lagi berlaku di masa hadapan. Ini ialah kunci kepada bagaimana The Pearl berjaya diselamatkan.

Di awal filem, isteri Will Sawyer mengadu bahawa handphonenya mengalami masalah. Will Sawyer mengajarnya supaya restart semula telefon tersebut untuk menyelesaikan masalah. Kebanyakan masalah boleh diselesaikan dengan restart semula telefon tersebut. Pada awal filem, babak ini kelihatan kecil dan tidak penting.

Namun, semuanya berubah apabila pesanan Will Sawyer membuatkan isterinya memadamkan keseluruhan sistem The Pearl dan menghidupkan kembali sistem keselamatan bangunan tersebut. Ini sekaligus membawa kepada terselamatnya bangunan tersebut dari kebakaran yang parah.

JANGAN TRAUMA TENTANG KESILAPAN LAMA


Ini ialah antara kunci kepada kejayaan Will Sawyer menyelamatkan anaknya daripada Kores Botha. Will Sawyer kelihatan seperti seorang yang sentiasa move on selepas apa yang berlaku di masa lalu. Apa yang terjadi pada masa lepas hanyalah sebuah kejadian yang sudah ditentukan. Dan hidup mesti diteruskan.

Di babak akhir filem ini, kita melihat Kores Botha menggunakan ketakutan lampau Will Sawyer untuk melemahkan Will Sawyer. Walaupun Kores Botha sendiri sebenarnya tidak tahu langsung kisah lampau Will Sawyer, Will sebenarnya boleh mengagak tindakan Kores Botha kerana keinginan Kores Botha dan juga penjahat di awal filem hampir sama.

Kores Botha sentiasa menggunakan orang lain untuk menyelamatkan dirinya. Sebagai contoh, Kores Botha mengarahkan ahli kumpulannya untuk menyerahkan payung terjun kepada Zhao Jong Li. Dia tidak ada belas kasihan dan sanggup lakukan apa sahaja untuk menyelamatkan dirinya. Dan tindakan Kores Botha menjadikan Will Sawyer senang untuk mengagak tindakannya.

Kalau nak diikutkan, tindakan Kores Botha boleh melemahkan Will Sawyer kerana hal yang sama menyebabkan kakinya hilang. Namun, Will Sawyer berjaya move on dan menjadikan apa yang berlaku di masa lepas sebagai sebuah kekuatan untuk dirinya.

TENTANG KELUARGA

Untuk sebuah filem sebegini, tema kekeluargaan ialah unsur utama yang mencetuskan tindakan watak utama. Skyscraper meriah dengan tema ini yang mana memaparkan bagaimana seorang ayah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan keluarganya. Tidak dapat dinafikan, tema ini ialah perkara yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton.

Tema ini sekaligus menyebabkan semua tindakan Will Sawyer kelihatan logik walaupun tidak realistik. Will Sawyer hanya memikirkan keluarganya sahaja dan sanggup berdepan pelbagai risiko untuk menyelamatkan keluarganya. Dan disebabkan ini, Skyscraper mendidik kita bahawa keluarga ialah yang paling utama dan perlu dijaga.

Namun, Skyscraper juga mengajar kita bahawa keluarga juga boleh menjadi kacau apabila ada yang menikam belakang tanpa pengetahuan. Dan ianya perkara di luar jangka yang memerlukan siapa sahaja bersedia kerana tak semua ahli keluarga percaya bahawa keluarga ialah sesuatu hubungan yang perlu dijaga dengan baik.

KESIMPULAN


Skyscraper ialah sebuah filem yang mudah dan sebenarnya tidaklah sukar untuk difahami. Ianya sebuah filem yang dibuat untuk berhibur. Sambil berhibur, kita sebenarnya melihat bagaimana kuatnya sebuah hubungan kekeluargaan yang mana boleh mencetuskan pelbagai tindakan luar jangka yang mengejutkan.

Filem ini kini di pawagam.

Catat Ulasan

0 Ulasan