Kutipan Seluruh Dunia 'Black Panther' Kini Lepasi Kutipan 'The Last Jedi'



Walaupun filem Infinity War sedang rancak ditayangkan di pawagam, filem Black Panther yang memulakan tayangan semenjak Februari lalu masih lagi ditayangkan di pawagam di serata dunia. Filem Black Panther ialah filem Marvel Cinematic Universe yang berjaya memberikan jiwa baru kepada persepsi filem superhero apabila memecahkan pelbagai rekod sepanjang tayangannya. 


Menurut Comicbook.com, Black Panther kini sudah mengutip USD 1.333 bilion. Kutipan ini mengatasi kutipan The Last Jedi yang mana berjaya mengutip USD1.332 bilion. Black Panther kini sudah berjaya memintas filem Star Wars dan bakal bergerak ke hadapan mengutip saki-baki keuntungan yang masih ada.

Rekod ini sesuatu yang membanggakan apabila Black Panther tersenarai sebagai filem kelima terbitan Marvel Studio yang berjaya mencecah kutipan angka bilion. Nampaknya, ngauman Black Panther takkan terhenti apabila bakal mencantas kutipan Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 yang berada di hadapannya dengan kutipan USD1.341 bilion.

Black Panther yang diarahkan oleh Ryan Coogler dibintangi oleh Chadwick Boseman sebagai raja Wakanda, Black Panther. Kevin Feige pernah memberitahu Collider bahawa Black Panther akan kembali dengan filem baru dalam masa terdekat. Namun, buat masa ini, Marvel kelihatan seperti membiarkan filem ini mengutip keuntungan dengan filem pertamanya dahulu.



Catat Ulasan

0 Ulasan