Kenali Selebriti Bollywood - Preity Zinta


Preity Zinta dilahirkan pada 31 Januari 1975. Dia mempunyai ijazah kepujian dalam Bahasa Inggeris dan juga Psikologi Jenayah. Filem pertama pelakon ini dalam dunia filem ialah Dil Se (1998) bersama Shah Rukh Khan. Selepas itu, pada tahun itu juga, Preity ZInta muncul bersama Bobby Deol dalam filem Soldier (1998). 


Lakonannya dalam dua filem itu sekaligus melayakkan dia menerima anugerah Pelakon Baru Wanita Terbaik di Filmfare Award. Kemudian, bakatnya makin dikenali apabila dia berlakon dalam Kya Kehna (2000). Pelakon ini memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Filmfare Award pada tahun 2003 melalui lakonannya dalam filem Kal Ho Naa Ho. 

Preity Zinta juga berlakon dalam filem Koi... Mil Gaya (2003) yang mana menjadi antara filem dengan kutipan paling tinggi di India. Bakatnya dipuji kerana kebolehan lakonannya dalam Veer-Zaara (2004). 

Filem-filemnya selepas itu, Salaam Namaste (2005) bersama Saif Ali Khan,dan Kabhi Alvida Naa Kehna (2006) bersama Shah Rukh Khan dan Abhishek Bachchan makin membuatkan pelakon ini dipuji kerana bakatnya. Pelakon ini seterusnya melonjakkan namanya dengan berlakon dalam sebuah filem Kanada bertajuk Heaven on Earth yang mana melayakkan dia mendapat Anugerah Silver Hugo bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Chicago pada tahun 2008.

Selepas kejayaan itu, pelakon ini memilih untuk menyepikan diri dari dunia lakonan dan memberi fokus kepada pasukan kriket miliknya. Pada tahun 2011, dia melancarkan syarikat produksinya sendiri, PZNZ Media. Di bawah produksi ini, dia menerbitkan filem Ishkq in Paris yang mana dilakonkan dirinya sendiri. Filem tersebut gagal mendapat tempat di hati peminat.

Catat Ulasan

0 Ulasan